Di Sebalik Ziyad Stellar Guest House

Ziyad adalah anak kepada pasangan Fairus & Syikin. Usianya genap 4 tahun pada 6 Januari 2021. Anak kurang upaya yang bijak dan comel.

Ziyad disahkan mengalami AVM sejak lahir. Kedudukan AVM ini adalah dibahagian kepala kanannya. Dalam pemahaman yang mudah, saraf di bahagian kepala Ziyad bergumpal dan menyebabkan kecederaan pada otaknya. Kesan dari kecederaan itu, kaki dan tangan kiri Ziyad menjadi lemah (stroke). Ziyad tidak boleh berjalan, hanya mengesot. Ziyad juga selalu diserang epilepsi (sawan).

AVM di otak Ziyad mempunyai risiko untuk pecah bila-bila masa. Jika ini berlaku, pasangan ini berisiko kehilangan Ziyad selamanya. Untuk menjalani pembedahan sekarang, usianya terlalu kecil. Risiko yang bakal dihadapi lebih membimbangkan. Pasangan Fairus & Syikin diberi 2 pilihan oleh doktor pakar, samaada mahu teruskan pembedahan atau memantau perkembangan Ziyad sahaja.

Atas nasihat doktor & perbincangan bersama keluarga, pasangan ini mengambil keputusan untuk memantau perkembangan Ziyad. Rawatan & pembedahan mungkin akan dilakukan setelah Ziyad berusia 10 tahun nanti. Buat masa ini sehingga menunggu Ziyad membesar, harapan diletakkan begitu tinggi agar Ziyad mampu bertahan.

Ziyad telah ditahan wad untuk menjalani sesi fisioterapi selama 1 bulan. Fokus utama untuk Ziyad mampu berjalan sendiri. Atas kuasa Allah SWT, hanya selepas 3 minggu menjalani sesi fisioterapi, Ziyad sudah boleh berjalan ketika usianya 3 tahun 9 bulan walau tidak sempurna seperti kanak-kanak lain. Perkembangan itu sangat mengejutkan bukan hanya kepada ibu bapa Ziyad, malah kepada doktor & kakitangan terapi. Inilah waktu yang ditunggu-tunggu kepada mereka yang mengenali Ziyad. Ianya satu kejayaan besar dan kegembiraan yang tak terhingga kepada ibu dan ayahnya.

Sejak pasangan ini dikurniakan anak syurga, mereka telah bertekad buat yang terbaik untuk Ziyad.

Kini, pasangan ini mendedikasikan Ziyad Stellar Guest House sebagai hadiah buat Ziyad. Satu usaha yang memberi makna dan nilai yang besar kepada keluarga ini.

Doakan pasangan ini dipermudahkan urusan untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah yang Allah kirimkan. Moga Ziyad Stellar Guest House akan terus maju dan Ziyad membesar dengan sihat.